Tuesday, 6 November 2012


LAPORAN KAJIAN TINDAKAN DALAM BILIK DARJAH

 

Nama Sekolah     : SJK (C) Tiram

                          Jalan Kekabu, 81800 Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor.

Nama Penyelidik  : Tang Gaik Siam

Tajuk Kajian         : Memperkaya kosa kata murid Tahun 5B dengan menggunakan

                          Program Bacaan Pagi, Program ”Sehari Selembar  Benang”dan

                          Program 200-4.

Penghargaan        : Saya ingin merakamkan setinggi-tingginya penghargaan kepada

                          Cikgu Yap dan Cikgu Chu kerana sudi memberi tunjuk ajar

                          kepada  saya dalam usaha melaksanakan kajian tindakan.

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Apabila saya memanggil murid untuk membina ayat secara lisan, segelintir murid tidak melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ini. Apabila saya tanyakan sebab, jawapan yang mereka berikan mudah sahaja, iaitu” malulah cikgu, jika saya bina ayat dengan perkataan yang tidak bersesuaian, nanti saya diketawakan oleh rakan-rakan pula.” Saya dapati seolah-olah mereka telah patah semangat untuk memahami dan memperkaya kosa kata mereka. Saya menyedari ramai di kalangan murid bukan Melayu  di kelas ini mempunyai asas bahasa yang lemah.

Selain itu, satu lagi kelemahan yang dapat saya perasan ialah kecuaian diri saya kerana tidak mencetak gambal tunggal dan mengedarkannya kepada murid-murid. Ini mengakibatkan murid-murid tidak dapat meneliti dengan lebih lanjut perbuatan yang dilakukan oleh setiap watak dalam gambar tunggal tersebut. Pada akhir pengajaran, saya tidak nenerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran sedangkan saya telah menulis rancangan pengajaran harian bagi hari tersebut.

Kelemahan yang seterusnya ialah saya tidak membimbing murid yang lemah dalam membuat latihan bina ayat. Ini mengakibatkan sesetengah murid tidak dapat menghabiskan latihan bina ayat. Sewaktu saya menyemak latihan bina ayat murid Tahun 5B, saya berasa sungguh terkejut kerana dapati walaupun mereka telah berada di tahap dua, tahap penguasaan kosa kata di kalangan murid ini sungguh terhad. Isi yang ditulis juga tidak berkembang. Selain itu, masih ramai murid yang melakukan kesilapan ejaan. Banyak ayat tergantung dibina oleh murid. Mereka menggunakan perkataan yang biasa mereka gunakan dan berulang-ulang apabila ingin menghuraikan sesuatu perkara. Contohnya, 1) Chee Ming dan abangnya bermain bola di tepi pantai dengan seronoknya. 2)Adik Chee Ming membina istana pasir dengan seronoknya. 3) Beberapa orang kanak-kanak bermandi-manda di laut dengan seronoknya.

  Saya telah berusaha mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran namun masih ramai murid yang mempunyai kosa kata yang amat terhad. Saya berpendapat lemahnya penguasaan kosa kata di kalangan mereka ialah disebabkan kurangnya penjelasan serta tumpuan terhadap pentingnya aspek kosa kata yang saya berikan sama ada semasa proses P&P atau aktiviti sampingan di luar bilik darjah. Kelemahan ini juga merupakan rentetan daripada pengabaian guru termasuklah saya terhadap kepentingan penguasaan kosa kata. Sekiranya saya tidak membetulkan keadaan ini, saya pasti murid kelas ini tidak dapat menjawab dengan baik soalan bina ayat dan juga soalan karangan bagi kertas 2 yang akhirnya akan menyebabkan kemerosotan nilai GNP sekolah saya.

ISU KEPRIHATINAN/ FOKUS KAJIAN:

     Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh murid, saya hanya fokuskan kajian ini kepada masalah penguasaan kosa kata. Murid saya mempunyai kosa kata yang terhad. Mereka hanya mampu menggunakan perkataan yang biasa mereka temui. Mereka melakukan banyak kesilapan apabila menulis ayat. Kesilapan yang sering dilakukan oleh murid ialah:

a)    Kesilapan penggunaan perkataan dalam ayat.

b)    Murid menggunakan kosa kata yang berulang-ulang dalam satu ayat menjadikan ayat itu tidak gramatis.

c)    Murid tidak menjawab soalan bina ayat kerana tidak faham maksud perkataan yang diberi.

     Kajian yang dijalankan ini berfokuskan aspek  kemahiran menulis. Kemahiran menulis adalah sangat penting dalam membimbing murid mengolah ayat serta ejaan yang betul dan tepat. Kajian ini adalah penting bagi murid tahap dua untuk membina ayat yang gramatis. Membina ayat memerlukan kemahiran berfikir, menulis serta keyakinan diri. Jika murid tidak boleh membina ayat dengan betul akan memberi kesan negatif terhadap diri mereka. Rasional kajian ini dijalankan memandangkan kumpulan sasaran lemah dalam aspek menulis berbanding dengan rakan-rakan mereka yang lain. Masalah yang dihadapi oleh murid-murid ini merupakan masalah yang kompleks dan perlu diatasi agar murid-murid tidak tercicir dalam kecemerlangan akademik khususnya  dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.


OBJEKTIF KAJIAN:

Selepas kajian ini selesai dijalankan, murid-murid diharap akan mencapai objektif berikut:

i)              Objektif Umum

Meningkatkan nilai GNP sekolah dengan peningkatan peratus kelulusan Bahasa Melayu.

ii)             Objektif Khusus

·     Meningkatkan  bilangan kosa kata baru yang diketahui dan difahami oleh para murid.

·     Meningkatkan keupayaan mengaplikasikan perkataan baru dalam ayat yang dibina oleh murid.

·     Membantu murid menguasai kemahiran belajar dengan merujuk kamus bagi meningkatkan penguasaan kosa kata mereka.

·     Meningkatkan peratus murid yang mendapat markah yang cemerlang bagi bahasa dalam kertas 2( Penulisan).

 

KUMPULAN SASARAN:

Kajian ini akan melibatkan 35 orang murid Tahun 5B yang terdiri daripada 30 orang murid Cina dan 2 orang murid India.

TINDAKAN YANG DICADANGKAN:

A)   Tinjauan Masalah

Sebelum langkah-langkah yang seterusnya diambil dalam menjalankan kajian ini, tinjauan terhadap masalah yang dikenal pasti akan dibuat bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam masalah tersebut. Tinjauan dilakukan dengan mengutip data seperti berikut:

i)              Ujian khas membina ayat berasaskan perkataan yang diberi bagi menganalisis kelemahan penguasaan kosa kata.

 

ii)             Latihan karangan murid bagi mengesan kesilapan penggunaan perkataan dalam ayat dan penggunaan kosa kata yang berulang-ulang dalam satu ayat.

 

iii)            Ujian Lisan Berasaskan Sekolah bagi mengesan penguasaan kosa kata murid.

 

iv)           Saya juga meninjau masalah murid melalui pemerhatian. Saya telah membuat pemerhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dan melalui respons murid kepada soalan-soalan yang diajukan.

 

v)            Kaedah lain yang saya gunakan adalah temu bual yang mana dilakukan secara tidak formal terhadap murid-murid yang telah dikenal pasti tidak dapat menguasai penggunaan kosa kata. Temu bual ini secara tidak langsung dapat mengetahui punca sebenar masalah mereka. Sesi temu bual ini dilakukan bersama murid di sekolah dan bersama ibu bapa atau penjaga dalam sesi pertemuan.

 

vi)           Ujian pra juga dijalankan bagi menguji tahap sebenar pencapaian. Ujian pra yang dijalankan meliputi aspek seperti hasil kerja murid melalui aktiviti yang dijalankan oleh guru dan ujian penulisan ke atas setiap orang murid dalam kumpulan sasaran.

B)   Program Bacaan Pagi ( Setiap hari Jumaat)

Murid-murid diberi bahan bacaan pagi. Bahan bacaan pagi mengandungi makna                         penggunaan kosa kata dalam contoh ayat.  Program Bacaan Pagi diketuai oleh dua orang murid, guru sebagai fasilitator. Selepas itu, guru memanggil murid untuk membina ayat tunggal atau ayat majmuk secara lisan. Guru membetulkan kesalahan tatabahasa, ejaan dan struktur ayat secara spontan. Program Bacaan Pagi ini mengambil masa 15 minit sebelum bermulanya waktu persekolahan.

C)   Program “Sehari Selembar Benang”

Guru mengumumkan sepatah perkataan sehari berserta definisi dan contoh ayat dalam kelas. Guru menampal perkataan pada papan hitam. Murid mencatat definisi dan contoh ayat dalam buku catatan khas. Guru meminta murid mengaplikasikan penggunaan perkataan dalam bina ayat atau karangan( 2 minggu sekali). Guru menganalisis latihan bina ayat atau karangan murid.

D)   Program 200-4

Guru meminta murid mencatat perkataan sukar daripada teks yang dibaca. Murid merujuk kamus untuk mengetahui maksud dan mencatatkannya dalam buku catatan. Murid membina ayat berasaskan perkataan yang dicari maksud. Selepas 4 minggu, guru menggabungkan semua perkataan yang dikumpul oleh 35 orang murid serta mencetaknya untuk diedarkan kepada semua murid. Guru menguji ingatan dan pengetahuan murid dengan mengadakan ujian khas.


JADUAL PELAKSANAAN KAJIAN


Bil

Aktiviti

Tarikh Pelaksanaan

1.

Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data

 

1-10-2012

2.

Menulis proposal kajian

 

6-10-2012

3.

 

Merancang tindakan secara individu

12-10-2012

4.

Melaksanakan tindakan---Aktiviti 1

15-10-2012

 

5.

Membincangkan masalah yang timbul dalam aktiviti 1

 

( dalam panitia )

 

19-10-2012

 

6.

Melaksanakan tindakan----Aktiviti 2

22-10-2012

 

7.

Membincangkan masalah yang timbul dalam aktiviti 2

 

( dalam panitia )

 

25-10-2012

8.

Melaksanakan tindakan -----Aktiviti 3

 

29-10-2012

9.

Membincangkan masalah yang timbul dalam aktiviti 3

 

( dalam panitia )

 

31-10-2012

 

10.

Ujian untuk mengesan pencapaian murid

2-11-2012

 

11.

Menulis laporan kajian

4-11-2012

 

12.

Refleksi kajian

5-11-2012

 

 

 REFLEKSI KAJIAN TINDAKAN

     Sepanjang kajian tindakan ini, banyak pengalaman yang telah saya lalui. Selepas kajian, saya dapat melihat perubahan sikap pada diri saya dan juga anak-anak murid.

      Perubahan sikap dapat dilihat di mana sebelum ini adalah amat sukar untuk menarik minat murid-murid kerana kebanyakan mereka mempunyai latar belakang keluarga yang miskin dan kurang perhatian daripada ibu-bapa serta kurang bahan bacaan. Selepas melaksanakan kajian tindakan, saya mendapati sikap mereka telah berubah pada setiap bulan dari pasif kepada aktif ketika aktiviti dijalankan. Mereka begitu meminati mata pelajaran Bahasa Melayu dan bersedia setiap kali kelas bermula.

      Bagi saya pula, sebelum melaksanakan kajian tindakan, saya tidak tahu merancang aktiviti-aktiviti yang boleh menarik minat murid. Tetapi sekarang saya pasti akan mencari idea dan membuat perancangan yang rapi untuk kelas yang seterusnya.

     Selepas menjalankan kajian tindakan, saya dapati muri-murid boleh membina ayat hanya dalam masa beberapa minit sahaja. Mereka sudah mahir menulis 3 sehingga 5 ayat dalam satu muka surat tanpa bertanyakan saya. Nampaknya saya telah menerapkan sifat keyakinan dalam diri anak-anak murid. Keyakinan dapat diterapkan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan apabila salah seorang murid 5B memenangi tempat ketiga dalam pertandingan menulis karangan.

     Akhirnya, saya akan mengekalkan kaedah-kaedah ini dalam pengajaran saya kerana ia merupakan kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk mengajar kemahiran menulis.

 

RUMUSAN

     Sebagai rumusan, jelas menunjukkan bahawa kajian tindakan bermula dengan masalah atau prihatin yang dikenalpasti oleh pengamal sendiri dalam kerja-kerja seharian. Masalah dan keprihatinan itu perlu dijalaskan dengan membuat refleksi ke atas apa yang telah dilakukan di samping mengumpulkan bukti-bukti yang relevan bagi menjelaskan permasalahan yang ingin dikaji. Selaras dengan perkembangan kajian tindakan ini, proses dan prosedurnya juga berkembang dan berbeza mengikut bidang  serta orientasi penyelidik yang terlibat dalam kajian tindakan. Faedah yang utama kajian tindakan adalah peningkatan amalan, peningkatan pemahaman ke atas amalan oleh pengamalnya serta peningkatan situasi di mana amalan berlaku. Ciri-ciri utama kajian tindakan adalah penglibatan dan kolaborasi, perancangan, tindakan, pemerhatian dan refleksi.